TARIKH PENDAFTARAN SUMBANGAN VETERAN TIDAK BERPENCEN 1MALAYSIA (SVTB1M) DILANJUTKAN

PEN: 12/2012/01(JHEV)

 

Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) telah mengeluarkan kenyataan berikut:-

 

 

TARIKH PENDAFTARAN SUMBANGAN VETERAN TIDAK BERPENCEN 1MALAYSIA (SVTB1M) DILANJUTKAN

 

 

Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) telah melanjutkan tarikh pendaftaran Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) kepada SEBELUM 15 DISEMBER 2012. Pemohon boleh mengemukakan Borang SVTB1M yang lengkap ke 82 buah Pusat Sehenti JHEV selain hadir ke 9 buah JHEV Cawangan Negeri. Mereka yang layak akan dimaklumkan secara bertulis bersama-sama arahan dan tatacara penyerahan bayaran sumbangan tersebut. Permohonan SVTB1M ini boleh disemak di dalam laman web JHEV iaitu www.jhev.gov.my. 

SVTB1M

Melalui Pembentangan Bajet 2013 yang lalu, Kerajaan telah bersetuju untuk memberi sumbangan sebanyak RM1,000.00 secara sekaligus (one-off) kepada Veteran ATM yang bersara awal kerana berkhidmat kurang daripada 21 tahun serta tidak berpencen yang terdiri daripada pegawai dan anggota LLP yang tidak berpencen seperti berikut: 

                     i.        Veteran ATM yang telah dibersarakan/ menamatkan perkhidmatan secara terhormat sahaja.

                    ii.        Tanpa mengira tarikh mula berkhidmat.

                  iii.        Tarikh tamat tempoh perkhidmatan (TTP) adalah pada atau sebelum 31 Disember 2012. 

          Definisi bagi Veteran ATM ialah bekas tentera berwarganegara Malaysia yang telah berkhidmat sepenuh masa dan tidak pernah dibersarakan atau diberhentikan daripada perkhidmatan atas alasan salah laku dalam mana-mana Angkatan yang berikut: 

                       i.       Angkatan Tetap ATM;

                     ii.       Angkatan Sukarela yang dikerah sepenuh masa oleh ATM tanpa mengira tempoh perkhidmatan;

                    iii.       Force 136;

                    iv.       Tentera British yang berkhidmat di Malaya/ Malaysia atau Singapura; dan

                     v.       Sarawak Rangers 

          Sumbangan RM1,000.00 secara one-off akan diberi kepada 234,500 orang Veteran ATM Tidak Berpencen ini dikenali sebagai Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M). Peruntukan kewangan SVTB1M sebanyak RM234,500,000.00 akan dikongsi bersama oleh Kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera. 

          Tujuan pemberian SVBT1M ini adalah sebagai pengiktirafan dan penghargaan Kerajaan di atas pengorbanan dan perkhidmatan Veteran ATM yang tidak berencen mempertahanankan kedaulatan negara. Walaubagaimanpun, sumbangan ini tidak dipanjangkan kepada Balu/ Duda/ Tanggungan. 

          Dalam mengawal dan melaksanakan pemberian sumbangan ini ditabir dengan cepat dan tepat, penerima  boleh memperolehi borang permohonan SVTB1M ini di semua pejabat Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) seluruh negara secara PERCUMA mulai 1 November 2012. Borang ini juga boleh didapati di 82 buah Pusat Sehenti yang terdiri daripada kem/ unit tentera terpilih seluruh negara (Lihat Lampiran) atau dimuat turun melalui laman sesawang JHEV iaitu www.jhev.gov.my. Di samping itu, borang permohonan ini turut diagihkan kepada semua Persatuan/ Pertubuhan/ Kelab Bekas Tentera di seluruh negara. 

          Pemberian sumbangan ini adalah suatu menifestasi komitmen dan keprihatinan Kerajaan terhadap golongan ini yang tidak pernah luntur dan sentiasa berusaha untuk membela nasib mereka yang pernah menjadi benteng pertahanan negara.            

          Justeru, adalah diharapkan agar semua Veteran ATM yang tidak berpencen dapat menghubungi tempat-tempat yang dinyatakan di atas mulai 1 November 2012 untuk urusan mendapatkan dan mengembalikan borang permohonan bersama-sama dokumen yang diperlukan. 

Kementerian Pertahanan juga memohon kerjasama semua Veteran ATM supaya dapat melengkapkan borang mengikut panduan dan keperluan yang disertakan bersama-sama borang permohonan agar pelaksanaan proses pemberian sumbangan ini dapat berjalan dengan lancar.  

Jika ada sebarang pertanyaan, sila hubungi Pengawai Perhubungan Awam JHEV, Encik Mohd Yusrizal B. Ab Razak di talian 017-6297397. 

 

JABATAN HAL EHWAL VETERAN ATM

KEMENTERIAN PERTAHANAN